
Pembentang berpandangan institusi zakat berhak dipasakkan dalam aliran utama ekonomi dan pembangunan negara berdasarkan empat faktor utama iaitu Islam menjadi agama rasmi Malaysia, rekod pencapaian institusi zakat yang terserlah dalam sejarah, falsafah zakat yang berteraskan transformasi tahap penerima kepada tahap pembayar, dan potensi serta kapasiti institusi merangkumi pelbagai fokus utama kemajuan negara.
Pembentangnya iaitu Dato’ Aidit bin Ghazali merupakan pengerusi Eksekutif Akademi Aidit Sdn. Bhd turut mengemukakan opsyen-opsyen kebarangkalian peranan yang boleh disumbangkan oleh institusi zakat dalam aliran utama ekonomi negara disamping menjelaskan faktor-faktor penentu dominan yang mendokong dan meletakkan institusi zakat di arus perdana ekonomi mengambil kira prestasi pengurusan dan keberkesanan institusi zakat yang meningkat, kehendak kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat, kesungguhan politik, nilai-nilai tambah, pemadanan 'trend' utama domestik dengan global dan kawalan faktor perosak.
Persekitaran kondusif dan positif masa kini berupaya menarik peranan dan kepentingan sumber serta dana zakat untuk diketengahkan dalam pembangunan sosio ekonomi umat Islam atas faktor berikut:
- Transformasi ekonomi rakyat.
- Penekanan kepentingan rakyat.
- Penekanan pemantauan prestasi yang rapi.
- Kesediaan meningkatkan martabat entiti Islam seperti Baitulmal dan liberalisasi terkawal atas kepentingan umat Islam.
Sebagai penutup, pembentang mengemukakan beberapa cadangan penting bagi memartabatkan peranan institusi zakat iaitu:
- Penilaian semula tahap prestasi para pemimpin Islam dari pelbagai lapisan dan sektor serta institusi- institusi Islam.
- Memperkemaskan sistem dan budaya pemilihan para pemimpin.
- Penilaian semula ke atas kaedah, kekerapan dan pengisian saluran komunikasi umum berkaitan zakat, dan penetapan tugasan berkos perlu berasaskan meritokrasi, efikasi segi kos dan matlamat jangka panjang.
.